-Tatkala dunia membohongiku,
Engkau bersamaku.
-Tatkala semua menjauhiku,
Engkau mendekatiku,
-Tatkala hidup mematikanku,
Engkau menghidupkanku.
-Seperti Khadijah
Engkau membenarkanku.
-Lalu apa pantas dan apa bisa sesiapa lagi menggantikanmu?
Andainya engkau berlalu dari duniaku, meninggalkanku?
Seperti Khadijah berlalu pergi dari Muhammad Rasul Allah,
Apakah engkau akan dibawa pergi dari duniaku oleh iradah Allah?
Oh, alangkah bencinya aku akan dunia,
Sumpah inginku memusnahkan ia.
Engkau di dalam ruhku, nafasku, kalbuku sentiasa,
Engkau sahaja memadamkan marahku terhadap dunia.
-Mengapa engkau tidak membalas rasa hatiku
Seperti Khadijah membalas rasa hati Rasulmu?
-Mengapa engkau tidak menyelimutkanku
Seperti Khadijah menyelimutkan Rasulmu?
-Mengapa engkau tidak memahamiku
Seperti Khadijah memahami Rasulmu?
-Seperti Muhammad gila di gua Hira,
Aku gila di duniaku fana.
-Lalu apa akan wujud lagi sesiapa menggantikanmu?
Andai engkau berlalu dariku meninggalkan daku?
Seperti Khadijah meninggalkan Rasul Allah,
Apakah engkau akan dibawa pergi dariku oleh qudrat Allah?
Oh, alangkah bencinya aku akan dunia
Sumpah inginku memusnahkan ia.
Engkau di dalam jiwaku, deruku, sukmaku sentiasa
Engkau sahaja memadamkan marahku terhadap dunia.