Diam sahaja Aditya membisu.
Aditya sang patung dewa membisu,
Tak ada bakti, tak ada bhikkhu,
Tak ada kemenyan, tak ada seru,
Aditya sang patung dewa membisu.
-Dulunya candi Melayu indah,
Dihias pancapuspa mawar merah,
Menjadi semadi pendita dan sembah,
Menjadi sila raja pemerintah.
Kini candi itu sepi,
Patung Aditya rebah ke tepi,
Tangan Ganesha hilang dan pergi,
Dicabut oleh si polan di malam hari,
Barangkali sudah dijual di mana-mana muzium luar negeri,
Patung Aditya dewa menyepi.
-Aditya Sang Hyang Dewata menyerah;
"Aku telah dibunuh tuhan dari Barat,
Tuhan kaum Yahudi dan Arab.
Lihat dahulunya penduduk desa ini
Dahulunya menyembah aku dewa yang hilang
Kini aku hanya tinggal dalam nama
Solat yang diungkap 'sembahyang'.
Ah! Manusia memang begitu,
Habis madu sepah dibuang,
Apakah aku ini bukan tuhan mereka dahulu?
Hanya kerana YHWH lebih unggul dariku,
Dibawakan oleh orang yang lebih putih,
Lebih tinggi,
Lebih panjang janggutnya,
Dan lebih besar senjatanya dari orang Melayu,
Maka aku ditinggalkan.
Sungguh tuhan yang baru itu maha pembunuh.
Biarlah aku mati."
-Sementara itu jentera besi dari bandar besar bergerak
Menuju ke candi sungai Melayu.
Biarlah candi sungai Melayu hancur;
Cerita dahulu dikenang jangan,
Kalau dikenang merosak hati.
-Candi sungai Melayu,
Dibina oleh Melayu dan dirosakkan oleh Melayu.