Pernah ada ketikanya ketika hidup di masa hadapan itu,
Bisa terlakar indah di benak pemikiran dan impianku,
Seperti sebuah dunia yang indah ibaratnya syurga,
Ke situ arah tujuan yang diimpikan sekalian pemuda.
Namun kendatipun, dunia ini semakin hari semakin hiba.
Ibarat mentari yang harus tenggelam di saatnya tiba,
Persis itu jua harus tenggelam segala harapan di dada,
Pabila masa sudah tidak mahu tercapainya ia.
Aku kadang-kala tidak mengerti,
Bagaimana bisa manusia ini,
Berjalan merentasi waktu tiada terhenti,
Meninggalkan semua yang melewati,
Persis air di daun keladi,
Sampai hampir bisa diungkapkan
Bahawa segala yang lalu itu hanya permainan,
Sia-sia dan juga khayalan;
Bukankah pernah di masa dahulu
Tatkala yang sudah melewati itu
Ada di depanmu?
Barangkali masa tidak pernah ada;
Barangkali maujudnya ilusi belaka.
Kerana manusia itu memerhatikan
Bahawa dunia penuh perubahan,
Kerana itu ia menghitungkan
Bahawa pasti ada laluan
Yang menjadi tempat berjalan;
"Dunia hanya persinggahan."
Apakah kerana itu pantas bagi manusia mengungkapkan
"Aku mahu maju ke hadapan?"
Sungguh, sungguh benar aku menyaksikan
Ketika hadapan menjadi belakang,
Aku mula menyedari hakikat,
Takkan pernah sesuatu berulang,
Yang tinggal hanya memori silam,
Satu waktu yang tidak tercapaikan.
No comments:
Post a Comment